comscore
Tumpuan :
Nasional

Kami juga sebahagian daripada komuniti

Oleh Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: ‘Tactile paving’ merupakan satu laluan khas bagi Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Namun masih ada segelintir masyarakat awam yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Antaranya dengan meletakkan rintangan seperti motosikal, basikal, meja dan pelbagai lagi objek di laluan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Association for the Blind (MAB), Datuk George Thomas.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Association for the Blind (MAB), Datuk George Thomas berkata apabila ‘tertangkap’ pelbagai alasan mula diberikan mereka.

Alasan paling popular kerana mahu meletakkan kenderaan untuk tempoh yang singkat ataupun melindungi kenderaan mereka daripada panas terik matahari.

Ujarnya, tindakan mereka bukan sahaja menganggu akses pejalan kaki OKU penglihatan, tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan kemudaratan kepada mereka sekiranya terlanggar objek di laluan itu.

Tangkap layar video tular di TikTok

Baru-baru ini tular di media sosial, seorang lelaki OKU penglihatan terpaksa mengalihkan sendiri motosikal yang menghalang laluan ‘tactile’ untuk memudahkan akses kepada diri sendiri, dan juga individu senasib dengannya.

Melalui komen-komen yang dimuatnaik, ramai yang mendakwa tidak mengetahui sebenarnya fungsi laluan itu.

Datuk George berkongsi, istilah ‘tactile’ yang membawa maksud sentuhan, menjadi panduan untuk golongan istimewa itu berjalan di tempat awam.

Di dalam pusat membeli belah, stesen bas atau tempat-tempat awam, laluan yang kebiasaannya berwarna kuning dan sedikit berbonggol ini bukan bertujuan memberikan ‘style’ atau gaya.

Sebaliknya ia mempunyai fungsi dan maksud tertentu kepada golongan OKU penglihatan melalui simbol-simbol yang diletakkan.

Melalui deria sentuhan, maklumat akan dihantar melalui sistem saraf manusia kepada otak untuk tafsiran maklumat.

Mengulas lanjut, ‘tactile’ yang berbeza coraknya akan memberi maksud samada untuk berjalan lurus atau perlu berhenti kerana terdapat halangan di hadapan.

‘Directional tile’ merupakan laluan berkemasan khas yang mengarah secara terus ke laluan masuk dan keluar bangunan perlu disediakan tanpa ada apa-apa halangan.

Manakala ‘warning tile’ yang berbintik hendaklah disediakan dengan jarak 300mm pada bahagian atas dan bawah larian ramp, step atau tangga.

“Setiap orang mempunyai hak dalam menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan, golongan OKU juga tidak terkecuali. Justeru, kita sebagai masyarakat yang prihatin perlu lebih peka dengan keadaan orang lain dan sekeliling.” kata Datuk George ketika ditemu bual Buletin TV3.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran ini, Datuk George turut menggesa orang ramai untuk membantu mengalihkan sekiranya terlihat sebarang halangan di laluan ‘tactile’.

Loading...
Terkini