
KUALA TERENGGANU: Penganjur Himpunan RXZ Members 5.0 memohon maaf kepada kerajaan negeri, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan ada segelintir peserta yang hadir tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Menerusi kenyataannya semalam, pihak penganjur juga memohon maaf kepada semua peserta yang memeriahkan lagi himpunan terbesar lebih 60,000 peserta dari dalam dan luar negara itu yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, hujung minggu lalu.
“Terima kasih kepada semua peserta RXZ Members 5.0 yang datang dari seluruh negara, malah ada yang datang dari Indonesia, Thailand dan Singapura sehingga berjaya mencipta rekod sendiri dengan kehadiran sehingga lebih 60,000 peserta. Kehadiran peserta itu di luar jangkaan kami.
Artikel berkaitan: Lebih 100 motosikal peserta Himpunan RXZ 5.0 di Gong Badak ditahan polis
“Pihak kami telah cuba bertungkus-lumus bagi memastikan program kali ini lebih mantap dan lancar memandangkan ia kali kelima diadakan.
“Dengan sering mengadakan kunjungan hormat, kami telah mendapat nasihat serta saranan yang baik daripada pihak berkuasa, namun tiada keupayaan pihak kami untuk memastikan ia sempurna.
“Adalah sedikit yang tidak memuaskan hati pihak berkuasa, jadi kami memohon maaf dan akan cuba melakukan penambahbaikan pada masa akan datang, ” katanya.
Media sebelum ini melaporkan JPJ menyita 126 motosikal atas pelbagai kesalahan selama sembilan hari Operasi Khas Motosikal (OKM) peringkat Terengganu termasuk peserta Himpunan RXZ Members 5.0 itu sekali gus menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan peserta himpunan berkenaan.