comscore
Tumpuan :
Nasional

Kampung Beng, Lenggong jadi Kampung Angkat Madani KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani KDN di kampung berkenaan di Lenggong hari ini. FOTO: NSTP

LENGGONG: Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Kampung Angkat Madani kelolaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kampung Beng, di sini bagi membangunkan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan selain meningkatkan taraf hidup penduduk.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beberapa inisiatif bakal memanfaatkan penduduk Kampung Beng susulan penaiktarafan itu.

Antaranya membabitkan penambahbaikan sambungan bekalan air yang akan turut memberi manfaat kepada beberapa kampung di sekitarnya seperti Kampung Batu Ring dan Kampung Durau; naiktaraf kemudahan internet; peningkatan taraf keselamatan melalui pembinaan pondok polis serta penyelenggaraan sungai dan tasik.

Kata Saifuddin, pemilihan kampung di bawah Mukim Durian Pipit itu adalah kerana kedudukannya sebagai tapak warisan bernilai tinggi yang sememangnya sinonim dengan daerah kecil Lenggong sama ada dari segi arkeologi mahupun keunikan flora serta faunanya.

“Kampung ni ada satu kelebihan tersendiri kerana di sini juga adanya tapak warisan arkeologi bertaraf UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sejak 2012. Jadi kerana itu potensinya cukup besar,”
katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani KDN di kampung berkenaan, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Lenggong yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Kata Saifuddin lagi, peruntukan RM2.5 juta yang perlu dibelanjakan sehingga Disember ini untuk program kampung angkat itu antara lain bertujuan mendekatkan jurang prasarana bagi kemudahan internet dan komunikasi yang sudah menjadi antara keperluan utama.

Menurutnya, langkah itu juga selaras cadangan untuk menjadikan kampung itu sebagai laluan utama di masa depan.

“Komponen penyelenggaraan sungai dan tasik di kampung ini tidak kurang pentingnya khususnya bagi aspek keselamatan memandangkan kawasan ini sedia rancak dengan aktiviti pelancongan. Jadi kita akan bina pondok polis yang kemudiannya akan dinaik taraf kepada balai sesudah siap laluan jalan baharu melintasi Kampung Beng yang menghubungkan Sungai Siput dan Lenggong nanti.”

“Saya juga difahamkan antara keunikan kampung ini adalah sungai dan tasik di sini menjadi antara laluan utama anak-anak dari rumah mereka yang terletak di beberapa pulau kecil untuk ke sekolah.”

“Jadi sebagai kampung angkat KDN, kita juga akan buat perolehan bot polis bagi mengawasi seluruh kawasan tasik bagi keselamatan.”

“Kita juga mempertimbangkan untuk semak rekod inventori dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jika ada bot mereka yang bertugas di lautan namun tidak lagi sesuai untuk kegunaan di laut sebaliknya sesuai di tasik, untuk gunakan bot itu untuk tujuan rondaam bersifat ‘omnipresent’ di kampung angkat KDN ini,” katanya.

Loading...
Terkini