comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 13 tahun memandu kereta bersama rakan-rakan ditahan

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang memandu kereta bersama rakan-rakannya ditahan polis dalam kejadian di, Machang Bubok, di sini, dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai tengah mengesan satu rakaman video berdurasi 32 saat tular di aplikasi WhatsApp yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta ditahan oleh orang awam di Jalan Rozhan, Machang Bubok pada jam 3 petang.

“Susulan itu, pihak polis telah menahan dua individu di hadapan Flat Taman Machang Bubok iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun dipercayai pemandu bersama seorang rakan, 13, yang juga berada dalam kenderaan.

“Sebuah kereta (Proton Iswara Aeroback) yang digunakan dalam kejadian itu juga turut ditahan. Polis masih mengesan rakan suspek lain yang berada dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ekoran itu, polis telah menahan ibu pemandu berusia lewat 40-an di rumahnya kira-kira jam 8 malam.

Katanya, pihak polis telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman ke atas pemandu kereta terbabit di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Satu lagi saman juga dikeluarkan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan motor di bawah umur yang mana, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

Pemilik kenderaan iaitu ibu suspek juga disaman di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

Kereta tersebut juga telah disita untuk membantu siasatan.

“Pihak PDRM menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu atau menunggang kenderaan kerana ia bukan saja boleh membahayakan diri kanak-kanak tersebut, tetapi ia juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.

Loading...
Terkini