comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak GISBH diberi pendidikan formal mulai 1 Oktober

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semasa sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM, di Putrajaya, hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kira-kira 300 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal kendalian GISB Holdings (GISBH) bermula 1 Oktober ini bagi mengelakkan keciciran.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan melaksanakan pendidikan berdasarkan modul khas mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Kita ambil berat dan ada komitmen yang tinggi untuk memastikan bahawa anak-anak ini dapat mengikuti sepenuhnya pendidikan.

“Kita bimbang sekiranya mereka tertinggal dalam tempoh siasatan sepanjang proses ini berlaku. Kita ambil tanggungjawab itu bagi memastikan pendidikan mereka dijamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.

Dalam Op Global yang dijalankan pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Artikel berkaitan: 402 kanak-kanak dieksploitasi di rumah amal diselamatkan polis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilapor berkata, seramai 149 kanak-kanak berusia antara setahun sehingga 10 tahun diberi perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di empat lokasi selamat.

Manakala, baki 243 mangsa masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.

Berita lanjut menyusul

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini