SUNGAI BULOH: Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang parah selepas dipercayai terbabit kemalangan di Jalan Stesen Kuang di sini, pada Khamis lalu dilaporkan meninggal dunia, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa itu daripada pihak keluarga pada 2.11 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 10 pagi dan kes diklasifikasi semula mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sebelum siasatan polis mendapati kanak-kanak perempuan terbabit terjatuh sendiri dan seluar dipakai mangsa tersangkut pada rantai basikal yang menyebabkannya terjatuh.
Mohd Hafiz dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 200 meter berhampiran kawasan sekolah.
Katanya, polis berjaya mengesan saksi yang membantu mangsa dan berada di lokasi semasa kejadian.
Terdahulu, dilaporkan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan membabitkan kanak-kanak menunggang basikal di Jalan Stesen Kuang, tampil membantu siasatan.
Mohd Hafiz dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.51 petang, 15 November lalu dan kanak-kanak terbabit mengalami pendarahan di kepala serta sedang menerima rawatan di hospital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.