SERIAN: Perjalanan pulang seorang wanita bersama-sama dua anaknya dari kampung berakhir tragedi apabila anak lelakinya maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Neil Beginda berkata, kejadian dilaporkan sekitar jam 10.30 pagi tadi di Kilometer 95 Jalan Kuching-Sri Aman, Serian.
“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan balik dari kampung di Betong ke rumah mereka di Kuching.
“Setiba di tempat kejadian, kereta mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri dan melanggar besi penghadang Jalan sebelum jatuh ke dalam gaung.
“Kenderaan terbabit rosak pada keseluruhan bahagian depan dan belakang,” katanya dalam kenyataan.
Neil berkata akibat kemalangan itu, wanita berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan patah di tangan sebelah kiri, sementara anak lelakinya berumur 8 tahun yang duduk di bahagian belakang penumpang mengalami kecederaan parah di kepala, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik Hospital Serian.
Tambahnya, anak perempuan wanita itu berumur 13 tahun yang duduk di bahagian depan kerusi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.