comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak lelaki hidap barah saraf perlukan dana RM106,772

FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap kanser ‘neuroblastoma’ atau saraf memerlukan dana RM106,772 bagi membolehkannya meneruskan rawatan di peringkat akhir untuk mengubati penyakit dihidapinya.

Fahrian Faizin Hazman yang berusia enam tahun disahkan menghidap kanser berkenaan pada Oktober dua tahun lalu.

Ibunya, Nur Aishah Zulkiflie, 35, berkata dia dan suaminya, Hazman Hisammuddin, 36, terkejut sebaik dimaklumkan oleh doktor berhubung penyakit anak lelaki mereka.

“Saya dan suami ke hospital membuat pemeriksaan selepas anak kami mengadu sakit perut sebelum dia tiba-tiba demam.

“Pada mulanya, kami hanya menyangkakan apendiks pecah tetapi pemeriksaan lanjut mengesahkan anak kami menghidap kanser neuroblastoma peringkat tiga,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan pertubuhan kebajikan One Hope Charity, hari ini.

Jelasnya, dia dan suaminya bersyukur apabila dapat mengetahui penyakit anaknya lebih awal memandangkan masih mempunyai rawatan.

“Sebelum itu, anak saya ini bergurau dengan abangnya sehingga abangnya tidak sengaja tertendang perut adiknya yang tidak lama kemudian mengadu bahawa dia sakit di bahagian perut.

“Sejak menghidap kanser ini dia telah menjalani enam peringkat rawatan termasuk beberapa sesi kemoterapi sehingga kini memasuki rawatan peringkat akhir.

“Bagi rawatan akhir ini, anak saya memerlukan ubat imun yang kosnya sangat tinggi dan menyebabkan saya serta suami kehabisan wang simpanan.

“Tahap kewangan kami amat terbatas memandangkan saya tidak bekerja dan sepenuhnya mengharapkan suami,” katanya yang turut menanggung tiga lagi anak berusia satu hingga 10 tahun.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pasangan suami isteri itu tampil memohon bantuan untuk membiayai kos rawatan akhir berkenaan.

“Pasukan kita telah membuat lawatan ke rumah pasangan ini di Puchong, Selangor dan membuat kelulusan bagi menyalurkan dana terbabit dengan melancarkan kutipan derma.

“Kos yang diperlukan untuk rawatan akhir ini berjumlah RM106,772,” katanya.

Maklumat lanjut, hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192192 atau layari onehopecharity.org.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini