Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak lelaki jatuh longkang ditemui meninggal dunia

FOTO: Ihsan Bomba

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika bermain di tepi longkang dekat Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda di sini, semalam ditemui meninggal dunia.

Mayat kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui anggota bomba kira-kira jam 5.10 petang tadi, pada jarak 3.7 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) (KUP) Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui pada hari kedua operasi yang dilakukan sekitar Sungai Danga di sini.

“PKO (Pasukan Keluaran Operasi) bertindak membuat pencarian dengan menggunakan satu bot di sekitar Sungai Danga di sini.

“Mangsa dilaporkan dijumpai di tebing Sungai Danga iaitu kira-kira 3.7 km daripada mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya.

Semalam, media melaporkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam longkang ketika cuaca hujan, pada jam 3.37 petang.

Dilaporkan, kedalaman longkang kira-kira 3.9 meter dan lebar kira-kira 6.7 meter, manakala paras air ketika mangsa hilang adalah pada kedalaman 2.43 meter.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada hari ini turut mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai.

Turut sama dalam operasi adalah Pilis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan lelaki berusia tujuh dan lapan tahun sedang bermain air di tepi longkang.

“Mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam longkang dan dihanyutkan oleh arus deras ke arah longkang besar berhampiran Pasaraya Warda Mart,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak dan memastikan mereka tidak bermain di kawasan berisiko seperti sungai atau longkang terutama semasa musim tengkujuh bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini