comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak lelaki maut dihempap pokok kelapa

Wan Muhammad Harith Syauqi (gambar) maut selepas dihempap pokok kelapa di belakang rumah keluarganya di Felda Jengka 6 di sini pada kira kira jam 5.30petang semalam.

MARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dihempap pokok kelapa di belakang rumah keluarganya di Felda Jengka 6 di sini pada kira kira jam 5.30 petang semalam.

Mangsa, Wan Muhammad Harith Syauqi Wan Hazizi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada jam 10.35 pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang mengutip dahan kering bersama bapanya, Wan Hazizi Wan Kemboja, 50, di belakang rumah mereka.

Ibu mangsa, Saliah Mohd Noor, 39, berkata, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya yang lain turut berada di luar rumah.

“Sebenarnya saya dan suami tinggal menyewa di Felda Jengka 3 dan pulang ke rumah mentua petang semalam (Sabtu).

“Sebelum kejadian, terdengar bunyi ‘prak’ tiga kali sebelum pokok kelapa tua itu tumbang menghempap anak. Memang ia berlaku depan mata, tapi saya tak sempat buat apa-apa,” katanya.

Saliah, ketika ditemui berkata keadaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dalam keadaan pengsan serta berlumuran darah di bahagian telinga dan hidung.

“Kami segera hantar anak ke HoSHAS untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.

“Saya anggap ini ujian, takdir yang tertulis buat kami dan reda walaupun telah kehilangan anak bongsu,” katanya.

Jenazah Wan Muhammad Harith Syauqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 6 kira-kira jam 3.30 petang hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini