comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak lima tahun perlukan RM110,000 bagi pembedahan jantung

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mengalami komplikasi jantung memerlukan bantuan sejumlah RM110,000 di Hospital Gleneagles, di sini.

Catherine Teng Kai Xuan dari Taman Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang mengalami jantung terbalik, berlubang dan saluran darah ke paru-paru sempit.

Ibunya, Lim Siew Lee, 42, berkata dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan serius sepanjang anak bongsunya dalam kandungan.

Katanya, komplikasi jantung yang dihadapi anaknya itu hanya diketahui selepas dua hari dilahirkan apabila doktor mendapati bacaan oksigen Catherine mula turun dan tidak normal.

“Selepas membuat pemeriksaan, doktor memaklumkan anak saya mengalami komplikasi jantung iaitu jantung terbalik dan berlubang.

“Namun tiada sebarang pembedahan dibuat selain memantau keadaan anak sehinggalah dia berusia lapan bulan ketika itu, bacaan oksigennya kembali tidak normal dan Catherine perlu dibedah segera dengan kos pembedahan sebanyak RM60,000 di Hospital Gleneagles,” katanya.

Suri rumah itu berkata, kelahiran Catherine dinantikan 10 tahun selepas dua kakaknya yang kini berusia 14 dan 15 tahun.

Katanya, walaupun Catherine mengalami komplikasi jantung sejak lahir, anak bongsunya itu masih aktif seperti anak-anak lain.

“Kami bergantung pada pendapatan suami yang bekerja sebagai pengecat kereta. Harapan saya sama seperti ibu lain mahu melihat dia (Catherine) membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.

“Dia sangat suka menyanyi dan menari. Sering menceriakan kami sekeluarga walaupun mengalami komplikasi jantung. Disebabkan dia sentiasa ceria, ada kala kami seperti terlupa dia mengalami masalah jantung,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu amat berharap bantuan orang ramai untuk Catherine menjalani pembedahan kali kedua iaitu meletakkan saluran baharu agar jantungnya dapat berfungsi seperti biasa.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, nama pesakit perlu ditulis di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP juga layak mendapat pelepasan cukai. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini