comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak maut dihempap pokok kerap cerita mengenai rumah baru

Umar Din Ayden Aminuddin, 4 tahun maut dihempap pokok dalam kejadian di Taman Eko Rimba Serting Ulu semalam.

JEMPOL: Dia kerap memberitahu mengenai rumah baru yang ibunya beli, demikian kata Amir Zulhariri Mohd Yusof, datuk saudara kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang maut dihempap pokok dalam kejadian di Taman Eko Rimba (TER) Serting Ulu tengah hari semalam.

Menurut Amir Zulhairi, 48, cucu saudaranya Umar Din Ayden Aminuddin kerap berkata demikian setiap kali mereka bertemu.

“Saya ingat dia bercerita mengenai rumah baru yang ibunya beli, kita pun mengiyakanlah sebab sejak dua minggu ini memang itu yang kerap dia cakap,” katanya ketika ditemui di Kampung Serting Tengah di sini hari ini.

Datuk saudara allahyarham Umar, Amir Zulhairi Mohd Yusof ketika ditemui media.

Turut hadir, polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan Balai Polis Batu Kikir.

Jelasnya, Umar seorang yang periang dan ceria.

Malah umur anak-anaknya juga hampir sebaya dan mereka pula tinggal berdekatan.

Anggota polis dan pegawai dari IPD Jempol turut menziarahi keluarga Allahyarham Umar di Kampung Serting Tengah. FOTO: NSTP

Dalam pada itu, Amir Zulhairi berkata, datuk mangsa yang juga abang iparnya, Abd Rahman Samad, 61 masih terkesan dengan insiden yang menimpa cucunya.

Menurutnya, Umar cuma memiliki seorang kakak, Nor Adora Ayden, berusia sembilan tahun.

Dalam kejadian itu, Nor Adora turut mengalami kecederaan namun telah mula stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

“Abang ipar bersara awal sebagai guru besar kerana ingin menjaga dua cucunya itu bersama isterinya iaitu kakak saya, Fatimah. Malah abang ipar sanggup membina sebuah kolam renang di kediamannya untuk cucunya beriadah,” katanya.

Amir Zulhairi yang merupakan Pegawai Kawalan Trafik Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berkata dia tidak mengetahui situasi sebenar kejadian itu kerana sedang bekerja.

Beliau sebaliknya dimaklumkan Umar ke lokasi bersama kakak dan ayahnya.

Sementara itu tinjauan di lokasi kejadian mendapati terdapat notis daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang memaklumkan Taman Eko Rimba berkenaan ditutup sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Taman Eko Rimba Serting Ulu ditutup serta merta kepada orang ramai.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dihempap sebatang pokok pada kejadian kira-kira jam 1.17 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata kanak-kanak lelaki terbabit meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan dada manakala kakak mangsa berusia sembilan dirawat di HTAN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini