Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak maut, tujuh cedera dalam kemalangan treler dan kereta

BUKIT GAMBIR: Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala tujuh lagi cedera apabila sebuah kereta Proton Iswara yang membawa lapan orang, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di kilometer 148.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, petang tadi.

Kemalangan dilaporkan berlaku ketika kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan arah yang sama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan bomba dan penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 2.59 petang.

Sebuah kereta bomba dari balai bomba Bukit Gambir bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai Pegawai Bomba kanan dua, Jahairi Syukor dan tiba dilokasi jam 3.17 petang.

“Kemalangan membabitkan sembilan mangsa termasuk lima orang dewasa dan empat kanak-kanak.

“Kereta Proton Iswara terbabit membawa empat orang dewasa dan empat kanak-kanak, manakala lori treler dipandu oleh seorang lelaki dewasa.

 

“Seorang daripada kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan KKM sementara yang lain cedera dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu lori treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan punca kemalangan masih dalam siasatan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini