comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak melecur, polis sedang lengkapkan siasatan

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan ibu bapa yang disyaki melakukan pengabaian terhadap anak mereka yang melecur ketika bermain api di Kampung Parit Kuchi, Pontian, 30 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan terbabit akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutanya.

Beliau berkata,ibu bapa kepada kanak-kanak yang berusia 36 dan 33 tahun itu ditahan pada Rabu lalu untuk siasatan lanjut, namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat. Mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, hasil siasatan awal, ibu bapa mangsa dikatakan tidak menghantar anak mereka yang melecur untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana berpendapat ubat dibeli di farmasi sudah memadai.

“Berdasarkan siasatan, ibu bapa berkenaan berpandangan ubat yang dibeli mereka di farmasi sudah memadai untuk merawat luka anak mereka yang melecur,” katanya.

Pada Rabu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilaporkanmelecur hampir keseluruhan badannya akibat bermain api pada timbunan sampah berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kuchi, Pontian.

Bagaimanapun, selepas lima hari, kanak-kanak itu tidak dibawa ke hospital oleh ibu bapanya bagi mendapatkan rawatan.

Perkara itu terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada kenalan ibu mangsa yang mengetahui keadaan kanak-kanak itu melalui gambar yang dikongsi di kumpulan WhatsApp.

Loading...
Terkini