comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak perempuan terima 15 jahitan akibat digigit anjing liar

Nur Acha Dawina, 11 digigit anjing liar ketika sedang membuang sampah bersama ibu saudaranya di pangsapuri berkenaan. FOTO: NSTP

KLANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menerima 15 jahitan selepas diserang dan digigit dua ekor anjing liar di kawasan rumahnya di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, dekat sini, Ahad lalu.

Menurut ibu mangsa, Norhashiqin Rosli, 29, kejadian berlaku sekitar jam dua petang ketika Nur Acha Dawina sedang membuang sampah bersama ibu saudaranya.

Katanya, ketika kejadian beliau berada dirumahnya di tingkat tiga pangsapuri berkenaan dan melihat dua ekor anjing berkenaan menyerang anak sulungnya.

“Kakak memaklumkan, ketika sedang membuang sampah, ada dua ekor anjing yang mengerumung dan menyalak pada mereka seperti mahu menyerang.

“Dalam keadaan panik, kakak saya lari ke arah blok pangsapuri manakala Nur Acha Dawina lari ke jalan dan dikejar dua anjing sebelum dia terjatuh dan digigit anjing berkenaan.

“Saya yang melihat dari atas menjerit meminta orang yang melalui jalan itu untuk menghalau anjing berkenaan sementara saya turun ke bawah.

“Akibat serangan itu, anak saya mengalami kecederaan parah iaitu luka besar di bahagian kepala, telinga, kaki serta tangan,” katanya ketika ditemui di kawasan pangsapuri berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurhashiqin berkata anaknya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan menjalani pembedahan selama enam jam bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang, semalam.

Katanya, Nur Acha Dawina kini stabil, bagaimanapun masih dalam pemantauan doktor berikutan luka gigitan dan cakaran anjing yang teruk.

“Laporan sudah dibuat kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan semalam mereka sudah menangkap tiga ekor anjing di kawasan ini.

“Saya berharap selepas apa yang berlaku pada anak saya, pihak berkuasa akan bertindak menangkap anjing-anjing liar ini kerana ia membahayakan penduduk kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, ketika tinjauan dilakukan, kelihatan kakitangan MBDK sedang melakukan pencarian baki anjing liar di kawasan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini