comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak terdampar: Kabinet setuju Seksyen 19B & Perkara 14(1)(b) 1(e) tak dipinda

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan dan tidak meminda Seksyen 19B dan Bahagian II Perkara 14(1)(b) 1(e) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan kanak-kanak terdampar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui selepas beliau membentangkan cadangan pindaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Setelah sesi libat urus yang panjang melibatkan semua pemegang taruh yang Kementerian Dalam Negeri (KDN) kendalikan kemudian dituruti dengan sesi libat urus yang dilakukan oleh Perdana Menteri bersama wakil-wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan dan ketua-ketua whip Kerajaan Perpaduan maka terhadap cadangan yang KDN bentangkan itu, semuanya dipersetujui melainkan satu iaitu perkara tentang (Seksyen) 19B dan (Bahagian II) (Perkara) 14(1)(b) 1(e) itu akan kekal seperti sebelum cadangan diangkat oleh KDN,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Seksyen 19B menetapkan bahawa anak-anak terdampar diberi kewarganegaraan menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Perkara 14(1)(b) 1(e) pula merujuk kepada tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara.

Sebelum ini, KDN dilapor bercadang untuk meminda seksyen berkenaan dengan memberi kewarganegaraan kanak-kanak terdampar secara permohonan pendaftaran.

Mengulas lanjut, menurut Saifuddin, Kabinet bersetuju tujuh daripada lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan iaitu tiga pindaan baharu dan empat peruntukan asal yang dibatalkan kerana tidak relevan.

Jelasnya, sesi libat urus terakhir berhubung cadangan pindaan berkaitan kewarganegaraan adalah pada Isnin ini membabitkan semua Ahli Parlimen backbencher.

“Pada masa sama, Kabinet juga mengingatkan supaya KDN apabila melaksanakan perkara ini setelah ianya diluluskan (di Parlimen) dengan sokongan sekurang-sekurangnya 148 (Ahli Parlimen), maknanya apabila permohonan warganegara diterima, ia harus dilakukan dengan peraturan, kaedah dan mekanisme yang lebih jelas, lebih berhati-hati serta cermat.

“Ini supaya perkara tentang kewarganegaraan ini ditangani tanpa pemohon terpaksa menunggu dalam tempoh yang sangat lama seperti sebelum ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini