PASIR MAS: Seorang penternak lembu, terpaksa bermalam di dalam kereta berdekatan kandang yang dipenuhi lebih 100 ekor ternakan selepas kandang miliknya dinaiki air separas 0.8 meter sejak kelmarin.
Muhammad Nasaruddin Mohd Nor, 31, berkata dia bimbang akan keadaan ternakannya, justeru memilih untuk terus berada berdekatan kandang di Kampung Lubok Jong, di sini.
Katanya, sudah dua malam dia bersama dua pekerja bermalam di dalam kereta yang diparkir di tepi jalan yang mana jaraknya satu kilometer dari kandang .
“Saya akan meredah air setiap pagi untuk memberi kesemua lembu makan dan berada di pondok berdekatan untuk berlindung sebelum kembali ke kereta pada sebelah petang.
“Sebelum ini air hanya naik separas 0.2 atau 0.3 meter (m) jika bah melanda, namun kali ini paras air sangat tinggi sehingga ada lembu yang terpaksa dialihkan ke bahagian kandang yang tinggi agar tidak lemas.
“Sudah dua hari lembu ini berendam di dalam air, saya bimbang ada yang mati kerana kesejukan akibat terlalu lama di air,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Nasaruddin berkata, setakat ini tiada yang mati tetapi sudah ada lembu yang dilihat sakit, jadi dia berharap semoga banjir segera pulih.
“Kandang saya mula dilanda banjir sejak tahun lepas, sebelum ini ia bebas daripada air setiap kali musim tengkujuh tiba. Saya pada awalnya menyangka air akan naik sama seperti tahun lepas, namun jangkaan meleset apabila ia mencecah paras dada,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.