comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kapal China disyaki curi bangkai kapal perang British di perairan Pahang

FOTO: Maritim Malaysia

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemui kira-kira 100 peluru pelbagai saiz dipercayai masih aktif dalam kapal pengangkut dari China yang ditahan Zon Maritim Tanjung Sedili kelmarin.

Penemuan peluru itu membongkar aktiviti mencuri bangkai kapal perang lama British di perairan Pahang, disyaki dilakukan kapal pengangkut terbabit.

Kapal terbabit ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang, Kota Tinggi, Johor kerana bersauh tanpa kebenaran pada jam 12.45 tengah hari.

FOTO: Maritim Malaysia

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penemuan peluru itu membabitkan kerjasama Maritim Malaysia dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, ia dilakukan ekoran penemuan peluru meriam di atas kapal terbabit yang disyaki berasal daripada peluru zaman Perang Dunia kedua.

“Operasi yang bermula pada jam 8 pagi dan berakhir sekitar jam 4 petang, membabitkan dua aset Maritim Malaysia bersama 15 pegawai dan anggota, 12 anggota unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, tujuh anggota dari Jabatan Warisan Negara dan seorang anggota Jabatan Laut Malaysia.

“Maritim Malaysia tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal perang lama British di perairan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua peluru pelbagai saiz yang ditemui telah diambil dan dibawa oleh Unit Pemusnah Bom PDRM untuk dimusnahkan.

“Laporan lanjut berkaitan penemuan ini akan dikeluarkan oleh pihak PDRM,” katanya.

Loading...
Terkini