Tumpuan :
Nasional

Kapal kargo karam: Seorang hilang, 6 terselamat

Operasi SAR diaktifkan bagi mengesan seorang kelasi yang hilang selepas kapal kargo muatan batu karam di perairan Awat-Awat, Sundar di Lawas, hari ini. – FOTO: JBPM

KUCHING: Seorang kelasi hilang, manakala enam lagi selamat dalam kejadian kapal kargo karam di Lawas, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Tawang Lingem, berkata ketika kejadian awal pagi ini, kapal kargo membawa muatan batu itu bersama tujuh kru dalam pelayaran dari Sipitang, Sabah ke Brunei.

Beliau berkata, kapal berkenaan dilaporkan karam di kedudukan 2.2 batu nautika dari Awat-Awat, Sundar di Lawas.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas mendapat maklumat kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas pada jam 9 pagi.

“Lapan anggota BBP Lawas kemudian diarah ke lokasi yang terletak 35 kilometer dari balai untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Menurutnya, enam kelasi berjaya diselamatkan oleh kapal lain yang kebetulan melalui perairan itu pagi tadi.

Beliau berkata, SAR turut disertai 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga anggota Sarawak Coast Guard.

Sehingga jam 1.30 tengah hari, mangsa masih belum dikesan dan maklumat lanjut berhubung mangsa yang selamat akan dikemas kini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini