Tumpuan :
Nasional

Kapal tangki bawa 70,000 liter diesel ditahan

Oleh: Safwan Sawi

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki dengan muatan diesel hampir 70,000 liter di kedudukan 2.7 batu nautika dari utara Pulau Kuraman, di sini, pada Jumaat lalu.

Kapal yang berasal dari Miri, Sarawak itu ditahan bot peronda APMM Labuan ketika melaksanakan rondaan di sekitar perairan berkenaan, jam 2.35 pagi.

Pengarah Zon APMM Labuan, Kapten Izwanhadi Idros berkata, bot peronda yang sedang menjalankan rondaan menahan sebuah kapal tangki yang terapung dalam keadaan gelap dan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, kapal tangki itu didapati membawa kira-kira 70,000 liter minyak diesel dipercayai dipindahkan melalui operasi dari kapal ke kapal (Ship to Ship).

“Anggaran keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM1 juta,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kapal itu disyaki telah melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Semua rampasan dan tujuh anak kapal berusia 21 sehingga 51 tahun yang berasal dari Indonesia dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini