Tumpuan :
Nasional

Kapal tangki berdaftar di Malaysia karam di perairan Singapura

KUALA LUMPUR: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Malaysia, iaitu ‘Silver Sincere’, dilaporkan karam di perairan Singapura petang semalam.

Menurut Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), kesemua lapan kru diselamatkan oleh kapal kargo berdaftar Indonesia, ‘Intan Daya 368’.

Kejadian berlaku selepas MPA menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 petang.

Dalam satu kenyataan, MPA menyatakan pihaknya telah mengarahkan kapal kargo Indonesia tersebut untuk membantu dalam operasi menyelamat.

“Nakhoda kapal ‘Silver Sincere’ telah memindahkan kesemua kru dari kapal yang tenggelam, dan semua anak kapal tersebut berada dalam keadaan sihat,” kata agensi itu.

Mereka dijangka akan diturunkan di Batu Ampar, Indonesia.

Sebagai sebahagian daripada usaha mencari dan menyelamat, MPA turut mengerahkan kapalnya Bersama dengan kapal Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan Pengawal Pantai Polis Singapura.

Operasi pencarian dan menyelamat telah selesai dan tiada mangsa lain dilaporkan.

Dalam usaha pemulihan kapal, MPA telah mengaktifkan kapal tunda penyelamat dan kapal tindak balas tumpahan minyak sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagi memastikan keselamatan lalu lintas maritim, MPA turut mengeluarkan nasihat keselamatan navigasi, meminta kapal yang melalui kawasan kejadian untuk menjauhi lokasi berkenaan.

Namun, trafik di Selat Singapura dilaporkan tidak terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini