comscore
Tumpuan :
Nasional

 Kapal Tangki Berlabuh Tanpa Kebenaran Ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki di kedudukan kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, Selangor semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim dalam satu kenyataan berkata, kapal tersebut ditahan kira-kira jam 12.30 tengahari oleh kapal ronda Maritim Malaysia KM Danga yang sedang melaksanakan rondaan rutin OP Eehsan di perairan Selangor.

Kapal tangki ini dikesan sedang berlabuh tanpa kebenaran hasil maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (JLMWT) di luar batas Pelabuhan Klang.

Kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan 25 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia antara 30 hingga 57 tahun.

Kesemua kru adalah warga China dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pelabuhan terakhir kapal ini adalah Singapura menuju ke Afrika Selatan.

Tambah Rosli, pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Rosli menjelaskan, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Selangor.

Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal serta agen-agen dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Loading...
Terkini