comscore
Tumpuan :
Nasional

Kapasiti air di tujuh empangan di Negeri Sembilan masih belum terjejas

Foto Fail Empangan Ulu Seperi.

SEREMBAN: Paras air di semua tujuh empangan di Negeri Sembilan masih lagi tidak terjejas meskipun cuaca panas ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tiga daripada empangan berkenaan mencatatkan kapasiti air 100 peratus iaitu Empangan Talang, Empangan Pedas dan Empangan Ulu Sepri.

“Empat lagi empangan iaitu Empangan Sungai Terip mencatatkan 95.96 peratus, Empangan Kelinci (94.52 peratus), Empangan Gemencheh (99.20 peratus) dan Empangan Teriang merekodkan kapasiti air melebihi 99.24 peratus.

“Walaupun cuaca panas namun keadaan kapasiti air di semua empangan itu masih baik kerana Negeri Sembilan masih menerima hujan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aminuddin mengingatkan penduduk di negeri itu supaya menggunakan air secara berhemah.

Beliau berkata, semua pihak perlu menjaga sumber air bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dan boleh menjejaskan urusan harian.

“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam masa akan datang, bermula dari sekarang semua pihak perlu menjaga sumber air kita bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Kerajaan negeri akan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan masyarakat juga perlu memberikan kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.

Lapan negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Loading...
Terkini