comscore
Tumpuan :
Nasional

Karnival Jom Heboh ‘diserbu’ peminat

FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Lokasi penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) 2022 di Puteri Harbour di sini, diserbu peminat acara itu memandangkan ia lokasi terakhir bagi siri jelajah KJH tahun ini.

Acara padang tahunan terbesar sejak 2003 itu bakal melabuhkan tirai di Johor tahun ini dengan penganjurannya yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik bermula hari ini hingga esok.

Pengurus Besar KJH, Media Prima Berhad, Eileen Lim berkata, KJH yang diiktiraf sebagai Acara Padang Paling Lama di Malaysia oleh Malaysia Book of Records itu masuk tahun ke-19 penganjurannya dan masih menjadi pilihan rakyat Malaysia walaupun sudah ‘berehat’ dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Katanya, di Johor, pihaknya menyasarkan 300,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

“Johor adalah lokasi ketiga selepas Putrajaya dan Terengganu dan Johor menjadi antara lokasi pilihan bagi penganjuran KJH.

“Kali ini kita mendapat sokongan penuh daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan menganjurkan KJH di lokasi baharu iaitu di Puteri Harbour.

“Kita percaya KJH masih dekat di hati rakyat Malaysia kerana melihat sambutan mereka seolah-olah mereka amat merindui penganjuran acara ini apabila kita tidak mengadakannya ketika pandemik yang lalu,” katanya ketika ditemui di tapak KJH di Puteri Harbour di sini, hari ini.

KJH kali ini dibawakan khas oleh DuitNow menampilkan gerai pameran Media Prima antaranya The New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM)m TV3, TV9, DidikTV KPM, Hot FM, Oh Bulan, Seismik, Vocket, Tonton, WowShop.

FOTO: NSTP

Seramai 50 selebriti turut ditampilkan sepanjang dua hari di beberapa gerai dengan aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan antaranya Fiza Sabjahan, Fatin Hamimah, Anim Ezzati, Fadlan Hazim, Riena Diana and Elly Mazlein.

Selain itu, turut ditampilkan, Siti Nordiana, Fezrul Khan, Adriana Adnan, Amar Baharin, Nabil Aqil, Nabila Razali, Shiha Zikir, Redza Rosli.

Bagi pengunjung, Syazuan Hairazi Sazali, 23, dia teruja untuk hadir ke KJH kerana sudah lama tidak merasai suasana berhimpun beramai-ramai bersama keluarga dengan menikmati aktiviti yang disediakan di acara itu.

“Sejak kecil, saya memang tidak pernah ketinggalan berkunjung ke KJH dan hari ini saya datang bersama ibu dan adik, kami tidak sabar nak berbelanja dan nak jumpa artis,” kata pekerja swasta itu.

Bagi Syafiqah Hidayah Saifuldin, 21, pula, dia dan ibu bapanya sanggup datang dari Kota Masai, Pasir Gudang untuk melihat suasana kemeriahan karnival itu yang sudah lama tidak diadakan.

“Sebagai penonton rancangan-rancangan Media Prima, saya memang teringin nak berjumpa artis secara lebih dekat dan apabila mengetahui adanya penganjuran KJH pada tahun ini, saya tidak mahi melepaskan peluang keemasan ini.

“Saya harap KJH tidak diberhentikan dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Loading...
Terkini