comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gego Bera tawar 1,500 peluang kerja 

BERA: Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan menanti warga Bera dan daerah sekitarnya sempena Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gego Bera, hari ini.

Karnival yang berlangsung di Dewan Konvensyen Bera, di sini yang dijangka dihadiri lebih 3,000 orang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Miat Quadra E-sport, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal, berkata pelbagai syarikat dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam karnival yang turut menawarkan peluang pekerjaan pelbagai sektor khususnya kepada generasi muda di Bera dan Temerloh.

Beliau berkata, graduan lepasan universiti dan mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan akademik masing-masing.

“Karnival ini mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. “Peluang keemasan ini perlu dimanfaatkan anak muda Bera yang masih mencari pekerjaan dan berpeluang menimba pengalaman dalam pelbagai sektor pekerjaan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Program bermula jam 8 pagi hingga jam 11 malam itu juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal, kenderaan saji (foodtruck) dan gerai jualan keluarga peladang termasuk konsert artis terkemuka.

Menurut Mohamad Faizal, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan termasuk penganjuran Santai eGames dengan penyertaan 190 orang daripada 38 kumpulan yang sudah mengesahkan penyertaan sekali gus dijangka menghimpunkan anak muda seluruh Bera dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, pasukan e-sukan negara, Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10 baru-baru ini juga akan menghadiri karnival ini.

Katanya, e-sukan di Malaysia kini bukan lagi sekadar hobi, malah menjadi kerjaya sukan sehingga melahirkan ramai pemain muda yang berjaya di peringkat antarabangsa.

“Kami mahu anak muda memanfaatkan minat mereka menjadi kerjaya seterusnya mampu menjana pendapatan lumayan.

“Acara yang julung kali dianjurkan di Parlimen Bera ini juga menawarkan hadiah berjumlah RM25,000, cabutan bertuah bernilai RM3,000 selain peluang bagi memenangi telefon pintar,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini