Oleh : Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan badan awam.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki yang dihubungi Buletin TV3 berkata, kertas siasatan itu juga sudah diserahkan kepada bahagian perundangan dan pendakwaan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
“Kita tunggu keputusanya mungkin dalam bulan Disember ini saya rasa jangkaannya pada Januari tahun depan akan dibuat keputusan, samada ada pertuduhan ataupun tidak, yang
penting kita nak melihat apa komen atau arahan selanjutnya, (Timbalan Pendakwa Raya) DPP memang dalam kes ini ada dicadangkan pertuduhan terhadap seseorang mungkin lebih daripada seorang individu,” katanya.
Menurut Tan Sri Azam, siasatan merangkumi kes jenayah selain penambahbaikan tatakelola.
3 November lalu SPRM menahan reman dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan pertanian bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Pada 30 Oktober pula, SPRM dilaporkan menahan seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat, berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi dianggarkan bernilai RM 1.8 bilion ringgit.
Susulan penahanan itu, seramai dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat yang merupakan warga asing ditahan bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.