Tumpuan :
Nasional

Kartel berkait skandal perlombongan di Sabah mohon 20 lesen cari gali

Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) – FOTO IHSAN FMT

KUALA LUMPUR: Kartel yang menjadi dalang di sebalik skandal perlombongan di Sabah yang turut dikaitkan dengan beberapa video tular di media sosial dikatakan memohon 20 lesen cari gali antara tempoh 2022 dan 2024.

Lesen cari gali itu sekiranya diluluskan akan memberikan kartel berkenaan yang dikatakan terdiri seorang ahli perniagaan dan bekas pengarah di beberapa agensi negeri, hak untuk melombong di tapak yang keseluruhannya seluas hampir satu juta ekar.

Kewujudan kartel ini pertama kali disorot September lalu oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), susulan siasatan dalaman oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri itu.

FMT yang memetik sumber rapat perkara itu berkata, kelompok pertama lesen cari gali ini terdiri daripada lima lesen sudah diluluskan oleh lembaga pengarah SMM, dengan bantuan seorang orang tengah.

Kata sumber yang tidak didedahkan identitinya itu, lesen berkenaan adalah untuk tapak-tapak yang keseluruhannya seluas 130,000 ekar.

Menurutnya lagi, lesen cari gali ini disyorkan kepada lembaga pengarah SMM untuk kelulusan tanpa sebarang usaha wajar dijalankan ke atas syarikat pemohon.

“…dan pada setiap mesyuarat lembaga pengarah (SMM) lebih banyak permohonan akan dikemukakan oleh syarikat-syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan itu untuk mendapatkan hak melombong di kawasan berbeza,” katanya.

Sumber itu juga mendedahkan orang tengah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan terbabit akan mendesak permohonan diluluskan oleh lembaga pengarah SMM secara ‘pukal’ dan bukannya membincangkan merit setiap satu permohonan.

Menurut sumber sama lagi, SMM mempunyai rakaman audio dan minit mesyuarat untuk menyokong dakwaannya, sambil menambah kelakuan orang tengah itu telah menarik perhatian ahli lembaga pengarah syarikat.

SPRM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah bekaitan perolehan projek mineral di negeri itu.

Setakat ini, SPRM sudah memanggil lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk dirakam percakapan dan siasatan masih giat dijalankan.

Siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mengulas isu sama sebelum ini mengesahkan permohonan kumpulan berkenaan membabitkan tanah seluas hampir satu juta ekar, yang mana sebahagian besar adalah kawasan perlindungan sepenuhnya, kawasan tadahan air dan kawasan pemeliharaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan negeri di bawah pentadbirannya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak dan sebarang dakwaan bahawa lesen melombong (mining lease) telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, kerajaan hanya mengeluarkan ‘prospecting license’ yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.

“Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam kerajaan negeri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini