Tumpuan :
Nasional

Kastam gagalkan cubaan seludup serbuk tembakau bersama makanan ringan

Muhammad Ilyas Queek Abdullah (tengah) menunjukkan tembakau dilarang import yang dirampas dalam pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Klang.- Foto: NSTP

SEREMBAN: Cubaan sindiket untuk menyeludup barangan larangan import iaitu tembakau dianggarkan bernilai RM361,962, digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan.

Bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, tembakau yang dibawa dari India itu disorok di dalam kotak berasingan bersama makanan ringan di dalam kontena yang diisytiharkan sebagai makanan.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, rampasan di Pelabuhan Klang, Selangor itu membabitkan nilai duti RM252,905.97.

“Kira-kira jam 1 tengah hari 20 November lalu, sepasukan anggota dari Unit Operasi Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Klang.

“Selepas pintu kontena dibuka, pasukan menemui 85 kotak makanan ringan dan lima peti minuman ringan pelbagai jenama, disusun di bahagian hadapan.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 716 kotak atau 3,580 kilogram (kg) serbuk tembakau disusun di bahagian belakang dalam kontena. Jumlah nilai sitaan termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM614,868.22,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, semua barang kes bersama kontena disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an yang bekerja dengan syarikat perkapalan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Sindiket menyusun produk makanan ringan dan serbuk tembakau di dalam kotak berasingan, namun dalam kontena yang sama dan diisytiharkan sebagai makanan.

“Tembakau adalah barangan larangan yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran 66 Bahagian I Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini