Tumpuan :
Nasional

Kastam pandang serius dakwaan salah laku pegawai, anggota

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan pihak polis dalam siasatan kes peras ugut yang membabitkan pegawai dan anggota kastam di sebuah kilang di Kapar, Klang, Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, JKDM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius setiap dakwaan salah laku yang melibatkan pegawai dan anggotanya, termasuk kes yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Berhubung kes ini, siasatan sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM memberi komitmen penuh untuk bekerjasama dalam memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan PDRM kelak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pendirian JKDM adalah jelas dan tegas di mana tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.

“JKDM terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap jabatan ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu, katanya JKDM mengambil maklum mengenai isu yang tular di media sosial pada 30 Disember dan 14 Januari lalu mendakwa berlakunya peras ugut yang membabitkan pegawai dan anggota JKDM ke atas sebuah kilang di Kapar, Selangor.

Menerusi video yang tular di TikTok, mendakwa beberapa individu mengaku pegawai kastam menyerbu sebuah kilang di Kapar, Klang dan mengambil wang RM150,000.

Dalam video yang tular, turut memaparkan salinan laporan polis serta beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa berkaitan kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini