Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 1.06 juta batang rokok putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM808,562.50 di sebuah kilang terbiar di Taiping.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, kesemua rokok itu ditemukan menerusi serbuan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan sekitar jam 7.05 petang pada 10 Oktober lalu.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukannya berjaya menemui rokok pelbagai jenama dengan paket tidak mempunyai setem cukai dan tiada maklumat berkaitan pengimport.
“Rokok ini kita percaya adalah untuk pasaran tempatan di negeri Perak. Kita sedang menyiasat punca bagaimana ia diseludup masuk, sama ada menggunakan pelabuhan atau mungkin melalui perairan negeri Perak.
“Modus operandinya adalah dengan menempatkan rokok seludup ini di bangunan tidak berpenghuni atau ditinggalkan sebagai stor. Kita pernah mengesan modus operandi sama awal tahun ini,” katanya.
Kastam juga tegasnya masih mengesan pemilik kilang, serta kumpulan yang terlibat dalam menjalankan aktiviti penyeludupan itu.
Kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.