
KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis mematahkan cubaan menyeludup ganja ke negara ini dari Thailand dan menemui 89 ketulan ganja mampat bernilai RM275,900 disembunyikan di sebalik perdu pokok bakau di sekitar kawasan hutan paya bakau perairan Bukit Putih, Kuala Perlis, 6 Januari lalu.
Pada penemuan 3.30 petang itu, anggota JKDM Negeri Perlis yang sedang meronda di perairan itu dimaklumkan berkaitan penemuan empat guni yang ditinggalkan di lokasi terbabit.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan sebelum menemukan ganja seberat 89.481 kilogram (kg).
“Kawasan itu adalah lokasi panas penyeludupan dadah dan barangan lain dari negara jiran.
“Ini kerana, jaraknya dengan perairan sempadan hanyalah sekitar 300 meter sahaja.
Ia sering dijadikan sebagai lokasi transit oleh sindiket tertentu untuk meletakkan barangan seludup sebelum diambil sindiket dari negara ini,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis di Kuala Perlis, hari ini.
“Kami menunggu selama setengah jam di lokasi itu untuk mengesan individu atau kumpulan yang akan menuntut bekalan ganja terbabit.
“Kami tidak menunggu lama atas faktor keselamatan memandangkan lokasi itu juga sukar diakses dengan bot besar,” katanya lagi.
Menurut beliau, ketika ditemukan, ganja itu juga sudah dimasuki air dan ia dipercayai untuk pasaran utara serta Lembah Klang.
“Ganja ini cukup untuk kegunaan 447,405 penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39N(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pada masa sama, menurut Ismail, sepanjang 2024, pihaknya merekodkan 11 rampasan membabitkan dadah bernilai RM3,754,739.70.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.