comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam Perlis rampas aksesori kenderaan bernilai lebih RM630,000

JKDM Perlis berjaya mematahkan cubaan seludup masuk 2,626 buah rim kereta di Kompleks LKIM Padang Besar dalam kejadian pada 31 Mac lalu. FOTO: NSTP

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas aksesori kenderaan dianggarkan bernilai RM636,235, melibatkan duti cukai sebanyak RM166,081.05 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar, pada 31 Mac lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata barangan dirampas, ketika sepasukan anggota Kastam melakukan pemeriksaan terhadap dua lori kontena bernombor pendaftaran Thailand, yang dipandu dua lelaki warganegara Thailand berusia 33 dan 51 tahun.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua dua lori kontena tersebut telah menemukan 2,626 unit aksesori kenderaan iaitu rim kereta pelbagai saiz, iaitu antara saiz 16 hingga saiz 19 yang diimport dari negara jiran menggunakan dokumen import, Borang Kastam 1 (K1).

“Sebanyak 1,436 unit daripada jumlah tersebut dipercayai tidak diikrar dengan betul,” katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan, Pejabat Kastam Padang Besar di sini hari ini.

FOTO: NSTP

Ismail berkata modus operandi dipercayai dengan cara membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan dalam Borang K1 (Import), dengan tujuan mengelak dikenakan duti dan cukai yang tinggi.

“Sebanyak 1,436 unit aksesori kenderaan tidak diikrar ini dapat dikesan, apabila penguat kuasa mendapati kesalahan dalam timbangan dan dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur,” katanya.

Ismail berkata kedua-dua pemandu lori kontena serta seorang wakil syarikat penghantaran iaitu lelaki warganegara Malaysia berusia 46 tahun, ditahan dan dilepaskan dengan jaminan kastam sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Beliau berkata kes itu, disiasat mengikut Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya turut merampas udang putih besar tidak diikrar kepada pihak Kastam dianggarkan sebanyak 5,360 kilogram (kg) termasuk kenderaan, disita dengan anggaran nilai RM279,000 dalam pemeriksaan terhadap dua lori dipandu dua lelaki tempatan berumur 40 dan 42 tahun di Bukit Kayu Hitam Kedah, pada 11 April lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini