comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam rampas 2,500 pokok bonsai seludup

 

Foto: NSTP

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor merampas pokok bonsai seludup yang diikrar sebagai pokok hiasan plastik di kawasan Pelabuhan Utara di sini, 30 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pihaknya membuat serbuan dan rampasan membabitkan sebuah kontena sebelum menemui 2,500 unit pokok bonsai dianggar bernilai RM200,000.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena bersaiz 12.1 meter (40 kaki) menemukan sejumlah pokok bonsai dipercayai tidak mempunyai permit import.

“Siasatan mendapati pihak sindiket membuat pengikraran tidak benar yang mana dagangan diikrar sebagai ‘ornamental plants’ melalui Borang Kastam 4 manifes bagi mengelak daripada dikesan oleh JKDM.

“Pokok bonsai adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 29 (1), Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata, pihaknya turut merampas dua kontena mengandungi 2,983 unit kipas berdiri dan kipas pengalir udara dengan anggaran nilai dan duti/cukai berjumlah RM133,500.

“Pada 9 Mei dan 13 Mei, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) menahan dua kontena bersaiz 40 kaki juga di Pelabuhan Utara.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah kipas angin berdiri dan kipas pengalir udara dipercayai tidak mempunyai sijil kelulusan untuk mengimport.

“Sindiket dipercayai mengimport barang larangan tanpa sijil kelulusan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

“Syarat berkenaan dijelaskan di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 mengikut Seksyen135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini