Tumpuan :
Nasional

Kastam rampas minuman keras, tongkeng ayam bernilai RM1.3 juta

Siti Mang (tengah) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras yang dirampas pada sidang media kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah membanteras penyeludupan barang larangan dan tidak berkastam di Menara Kastam Sabah. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras dan tongkeng ayam yang diseludup ke Sabah dalam empat siri rampasan berasingan membabitkan nilai rampasan dan duti berjumlah RM1.32 juta.

Semua 7,010 karton minuman keras pelbagai jenama itu dipercayai diseludup masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan mengisytiharkan sebagai barangan lain.

Sebanyak 2.8 tan tongkeng ayam pula dibawa masuk tanpa memiliki permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah Siti Mang berkata, rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 12 November lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan didapati kontena berkenaan mengandungi 2,500 karton minuman keras jenama ‘Hellsegga Beer’ yang tidak berkastam dengan nilai keseluruhan sebanyak RM376,233.

“Kes kedua dilaporkan pada pada 9.50 pagi 3 Disember lalu selepas sepasukan petugas kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu menahan dan memeriksa sebuah kontena di kawasan pemeriksaan di Pelabuhan Sepanggar.

“Hasil pemeriksaan terhadap kontena terbabit mendapati minuman keras disyaki melanggar peraturan mengikut Akta Kastam 1967.

“Minuman keras untuk kes ini berjumlah 2,500 karton bersamaan dengan 19,200 liter yang dianggarkan bernilai RM72,768 dengan jumlah cukai yang sebanyak RM297,676,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Menara Kastam Sabah di Jalan Sulaman di sini, hari ini.

Siti berkata, rampasan ketiga dilakukan pada 20 November lalu apabila sebanyak 2,010 karton minuman keras berjaya dirampas.

Menurutnya, rampasan keempat membabitkan tongkeng ayam berjaya dilakukan pada 6 Disember lalu selepas dibawa masuk tanpa permit import.

“Kalau kita melihat keempat-empat kes ini, modus operandi pihak tidak bertanggungjawab ini membuat ikrar tidak betul,” katanya.

Siti berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.

Katanya, seseorang itu juga boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini