Tumpuan :
Nasional

Kawasan ekopelancongan dan hutan Johor mula ditutup, bersedia hadapi tengkujuh

JOHOR BAHRU: Jabatan Perhutanan Negeri Johor akan menutup beberapa lokasi ekopelancongan di seluruh negeri ini bagi memastikan keselamatan orang ramai berikutan musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, penutupan itu membabitkan Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN), trek pendakian, trek sukan lasak dan Suaka Burung Panti.

“Lokasi-lokasi ini ditutup kepada pengunjung mulai 15 November 2024 (semalam) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak kecuali TER Gunung Arong dan Trek Pendakian Gunung Arong yang akan ditutup pada 16 Disember 2024 sehingga dimaklumkan kelak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Perbadanan Taman Negara Johor turut mengumumkan bahawa terdapat penutupan yang dilaksanakan di kawasan ekopelancongan di bawah seliaan mereka.

Katanya, ia membabitkan Air Terjun Gunung Ledang yang ditutup bermula 14 Oktober lalu hingga 31 Disember depan bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf.

“Selain itu, Taman Negara Endau-Rompin dan Taman Negara Gunung Ledang Hutan Lagenda masing-masing akan ditutup bermula 1 Disember ini hingga diberitahu kelak,” katanya.

Ling berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah proaktif untuk melindungi keselamatan pengunjung serta meminimumkan risiko akibat fenomena cuaca buruk seperti hujan lebat dan banjir.

Katanya, kerajaan negeri amat menghargai kerjasama orang ramai dalam mematuhi arahan itu demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

“Kita menyeru supaya semua pihak sentiasa berwaspada terhadap risiko musim tengkujuh dan mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Johor sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai apabila lokasi-lokasi ini dibuka semula nanti.

“Kita yakin pengalaman di kawasan ekopelancongan ini akan terus memberi kepuasan kepada pengunjung selepas penambahbaikan dilaksanakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini