comscore
Tumpuan :
Nasional

Kawasan operasi SAR komando tentera dikhuatiri lemas diperluaskan

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memperluaskan radius pencarian seorang komando tentera darat yang dikhuatiri lemas termasuk menggunakan aset udara, pagi ini.

Pengarah Agensi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Lans Koperal Edrin Daintin, 25,
dihentikan pada jam 7.30 malam tadi selepas menemui jalan buntu.

Mangsa yang berpakaian selam kata beliau, dipercayai hilang sewaktu menjalani latihan pada kedudukan 1.35 kilometer barat daya Pulau Undan yang berkedalaman 40 meter.

“Pasukan SAR diaktifkan sebaik sahaja kita menerima maklumat pada jam 5.30 petang namun terpaksa dihentikan dua jam kemudian selepas gagal menemui mangsa.

“Operasi mencari akan diteruskan esok (pagi ini) dengan bantuan aset daripada agensi sahabat termasuk menggunakan helikopter dan pasukan penyelam dari ibu pejabat,” katanya ketika ditemui di pusat operasi di Jeti Nelayan Umbai, Merlimau, di sini malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Syakirin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kehilangan anggota komando terbabit pada jam 5.31 petang semalam.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Melaka Tengah bersama 16 anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor.

Ketika kejadian anggota terbabit sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau Kursus Juruselam di kawasan perairan Pulau Undan.

Turut bersama mangsa adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang, di sini.

Operasi SAR turut melibatkan kekuatan 34 anggota dan lima pegawai dari Kem PULPAK.

Loading...
Terkini