Tumpuan :
Nasional

Kawasan rendah sekitar Sungai Belat di Kuantan diramal banjir

Sungai Belat, Kuantan. FOTO: NSTP

KUANTAN: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir membabitkan sembilan kawasan, termasuk tujuh kampung di daerah ini.

Kawasan terbabit ialah Kampung Batu 5 Jalan Gambang, Kampung Belukar, Kampung Gudang Rasau, Kampung Kurnia, Kampung Semangat, Kampung Telok Mahang, Sungai Isap, Taman Pandan Aman dan Kampung Sri Damai.

Menurut kenyataan dikeluarkan, ia susulan amaran hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang meramalkan banjir di daerah ini bermula hari ini hingga Rabu ini.

FOTO: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia / Facebook

“Ia membabitkan kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Belat. Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

“Oleh itu orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, laman sesawang JPS melaporkan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 26.60 meter pada jam 8.15 pagi.

Empat sungai melepasi paras waspada pula ialah Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Pekan.

Loading...
Terkini