Tumpuan :
Nasional

KDN akur keputusan mahkamah arah pulangkan rampasan jam Swatch

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akur dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan supaya kerajaan memulangkan 172 jam tangan Swatch daripada siri Pride Collection, yang dirampas Mei tahun lalu.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan mendapatkan laporan penuh berhubung penghakiman kes berkenaan.

“Apabila keputusan (merampas jam) itu dicabar, mahkamah adalah institusi yang akan memutuskannya dan kalau demikian keputusan mahkamah, KDN seharusnya menghormati keputusan itu.

“Jika tidak, kita akan dianggap sebagai menghina mahkamah. Jadi saya kena dapatkan laporan penuh berkenaan penghakiman itu, biasanya saya akan diberikan taklimat pelengkap asas penghakiman,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mengarahkan kerajaan memulangkan 172 unit jam tangan Swatch siri Pride Collection, yang dirampas pegawai KDN pada tahun lalu kepada syarikat The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd (Swatch Malaysia).

Hakim Amarjeet Singh yang membacakan keputusan itu berkata, KDN melanggar undang-undang ketika melakukan rampasan dan mengarahkan kerajaan memulangkannya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini, selain beliau membatalkan notis penyitaan terhadap Swatch Malaysia selepas membenarkan perintah certiorari yang dimohon syarikat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini