PASIR MAS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan akan menerima 150,000 naskah al-Quran rosak untuk dilupuskan dari tiga negeri terjejas banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, berkata setakat ini pihaknya sudah mengumpulkan sebanyak 55,000 naskah al-Quran dari beberapa daerah terjejas membabitkan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Katanya, KDN menubuhkan Skuad Ihsan Madani terdiri daripada 100 anggota termasuk sukarelawan yang bertanggungjawab membantu mangsa banjir termasuk mengumpul serta menggantikan al-Quran baharu yang mendapat perakuan KDN.
“Kita menyediakan pusat pengumpulan al-Quran di masjid utama setiap daerah terjejas banjir bagi memudahkan mangsa menghantar kitab suci berkenaan sebelum digantikan dengan yang baharu.
“Selain itu, beberapa kaedah digunakan untuk melupuskan al-Quran mengikut syarak yang termasuk dengan cara pengeringan yang mana ia akan dikeringkan dan dijadikan abu sebelum dijadikan kiub untuk dilepaskan ke laut.
“Terdapat juga kaedah dinyahdakwat yang mana ia diproses untuk menghilangkan dakwat al-Quran daripada kertas sebelum dihancurkan dan dikitar semula untuk menjadi kulit al-Quran dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) dan Solidariti mangsa-mangsa banjir di Masjid Taman Maka Utama, di sini, hari ini.
Nik Yusaimi berkata, di Kelantan pihaknya menerima 25,000 naskah al-Quran daripada mangsa banjir membabitkan lima pusat pengumpulan di tiga jajahan teruk terjejas banjir iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.
“Bagaimanapun, pihak kami turut mendapati masih ada pihak yang melupuskan al-Quran yang tidak mengikut syarak termasuk melupuskannya di tempat kitar semula.
“Oleh itu, orang ramai diminta menukarkan al-Quran mereka yang rosak akibat ditenggelami banjir untuk dilupuskan melalui program JEQ KDN,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.