comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN mohon RM200 juta siapkan dua Kapal Peronda Luar Pesisir Maritim

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) berucap ketika menyertai tinjauan penguatkuasaan Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Pelabuhan Klang. – FOTO: NSTP

PELABUHAN KLANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memerlukan suntikan RM200 juta untuk menyiapkan projek Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) kedua dan ketiga (OPV 2 dan OPV 3) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah itu hasil semakan semula peruntukan asal dan baki peruntukan baharu bagi menyiapkan OPV 1 sebelum ini.

Katanya, kertas cadangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan RM200 juta itu sudah pun dibentangkan ke peringkat Jemaah Menteri dua minggu lalu selepas memastikan jumlah peruntukan yang munasabah.

“Secara dasarnya, perkara itu sudah pun dipersetujui oleh Jemaah Menteri untuk kita kemukakan permohonan peruntukan tambahan untuk menyiapkan baki dua lagi OPV.

“Hala tujunya adalah untuk menyiapkan lagi dua OPV yang mana OPV 2 sudah siap lebih 75 peratus, makanala OPV 3 sudah pun melebihi 50 peratus siap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan tinjauan pemantauan Op Khas Pagar Laut oleh OPV 1 Maritim Malaysia, KM Tun Fatimah di perairan maritim Selangor dari Jeti Pusat Hidrografi Nasional di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah (KP) Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin; KP Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh dan KP Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Datuk Yahya Sulaiman, KP Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Sutekno Ahmad Belon dan KP Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memberikan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi memastikan projek OPV 1 siap dan akhirnya diserahkan kepada Maritim Malaysia pada Januari lalu, berpangkalan di Kuching, Sarawak.

Saifuddin berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju bahawa KDN boleh melaksanakan apa sahaja kaedah dan strategi untuk menyiapkan dua lagi OPV berkenaan.

“Pada akhirnya, matlamat kita adalah memastikan kapal OPV 2 dan OPV 3 siap. Kesemua ini adalah dalam usaha untuk meningkat keupayaan aset.

“Kita kena ingat sempadan maritim negara ini luas. Sempadan darat dan laut 4000 kilometer (km) dan sempadan maritim sahaja dalam 590,000 km persegi.

“Jadi keupayaan aset tu mesti dipertingkatkan dari masa ke semasa termasuk meningkatkan aset udara Maritim Malaysia,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, Maritim Malaysia bakal menerima empat helikopter dalam tempoh 18 bulan dan perolehannya sudah dimuktamadkan oleh jawatankuasa perolehan dengan bajet RM600 juta.

Menurutnya, dengan penambahan empat helikopter itu, Maritim Malaysia akan mempunyai keseluruhan 10 helikopter namun satu daripadanya terhempas di Perairan Pulau Angsa, Klang pada 4 Mac lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga sudah meluluskan perolehan kapal induk Maritim Malaysia yang menelan belanja RM280 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini