comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN rampas Al-Quran tanpa kelulusan di Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Al-Quran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ) termasuk buku yang dikenakan perintah larangan bernilai lebih RM563,370 dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata rampasan itu di kedai jualan dan stor penyimpanan bahan itu di Pendang kira-kira pukul 11 pagi pada 13 Nov lepas oleh sepasukan anggota dari Ibu pejabat KDN Putrajaya dengan kerjasama KDN Kedah.

Rampasan dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak tahun 2018 sehingga membawa kepada kejayaan menyerbu premis berkenaan sekali gus merampas Al-Quran itu melalui ‘Ops Naskhah’ yang dilancarkan di seluruh negara pada 1 Okt lepas.

“Hasil rampasan tersebut ialah naskah Al-Quran sebanyak 2,874 unit yang ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, bahan Al-Quran sebanyak 4,024 unit yang ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

“Selain itu, bahan penerbitan berbentuk buku sebanyak 16 naskah yang ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) dan Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya pada sidang media di Bangunan KDN Kedah di sini.

Jelasnya, kebanyakan bahan yang dirampas adalah dari Indonesia.

Beliau berkata seorang lelaki berumur lingkungan 40-an yang dipercayai penjual dan pengedar bahan itu ditahan untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut sebelum dilepaskan.

Lelaki itu disyaki aktif menjual Al-Quran berkenaan secara atas talian dengan kebanyakkan bahan itu diperoleh dari Indonesia.

“Kita akan susun untuk membuka kertas siasatan dan kita akan berbincang dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk (lelaki itu) dibawa ke mahkamah, dalam proses siasatan itu, saya percaya kita akan mendapat maklumat tambahan,” katanya.

Sehubungan itu, Nik Yusaimi menasihati masyarakat berhati-hati dengan hanya menjual, membeli, memiliki dan membaca Al-Quran yang diperakui LPPPQ yang mempunyai hologram KDN.

Loading...
Terkini