comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN sahkan 3 NGO Ops Ihsan tiada rekod isu keganasan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA: Berdasarkan kepada semakan polis, tiga badan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam Ops Ihsan di Gaza tiada rekod menunjukkan terlibat dengan isu keganasan seperti yang disenaraikan Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, kerajaan sedia maklum operasi kemanusiaan yang dijalankan bagi membantu penduduk di Gaza melibatkan sekumpulan NGO.

Katanya, sebelum operasi itu bermula sudah tentu akan diadakan semakan terlebih dahulu supaya tidak berlaku masalah ketika operasi berjalan.

“Seramai 359 individu menganggotai NGO ini melibatkan 53 kumpulan dan kesemua yang terlibat juga dibuat semakan terlebih dahulu oleh pihak keselamatan supaya tidak terlibat dengan aktiviti keganasan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Susulan itu Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Saifuddin berkata, perkara yang timbul ini adalah dalam rekod FBI dan penegasan ini penting sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat kita mempunyai undang- undang sendiri.

Katanya, negara juga mempunyai agensi yang bertanggungjawab tentang keselamatan serta mempunyai rekod rekod yang kompiten dalam membuat tapisan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini