Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia untuk mengintegrasikan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam semua agensi di bawah kementeriannya secara berperingkat mulai tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu bagi menyelesaikan isu keselamatan dan kawalan sempadan yang lebih cekap.
“Jadi menyelesaikan isu keselamatan dan kawalan sempadan lebih pantas, lebih cekap, lebih selamat,
efektif.
“Semua ini dengan menggunakan AI tools, dia mesti dengan masukkan data. Sebab itu saya mulakan tahun ini di KDN, AI for KDN, KDN for AI.” Katanya dalam sidang media pada Majlis Penutupan Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).
Tambahnya, usaha itu akan terjemahkan dalam banyak perkara dan permulaannya dilakukan pada satu Januari lalu di pintu masuk kedua-dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar serta Kompleks Sultan Abu Bakar.
“Kita akan mengumumkan bertahap dari masa ke semasa. Jadi saya yakin input hari ini, termasuk apa yang dilaporkan kepada saya daripada perbincangan 36 bengkel.
“Hasil akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap dan mampu memberi jawapan terhadap isu-isu integriti.” Jelasnya.
Selain itu, beliau turut menyambut baik cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk rangkaian 5G khusus untuk kegunaan pihak agensi keselamatan khususnya Polis diRaja Malaysia (PDRM).
AISSE25 melabuhkan tirainya hari ini berjaya menonjolkan Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau serta global.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sejak Isnin lalu, acara itu berhasil menarik kehadiran lebih 18,000 pelawat perdagangan dan pegawai kerajaan serta 1,000 delegasi persidangan yang terbabit secara langsung dalam 36 bengkel dengan penyertaan 348 syarikat dari 48 negara sebagai pempamer.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.