comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN serah kepada PDRM isu KK Mart

Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menilai dan mengambil tindakan terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh susulan isu stoking tertera kalimah Allah yang dicetuskan KK Mart Sdn Bhd (KK Mart).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak polis.

“Saya tak sebut (mengesahkan adakah Akmal termasuk dalam kelompok penghasut),” katanya dalam sidang media menjawab pertanyaan media mengenai keperluan untuk polis melakukan siasatan terhadap Dr Akmal.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai soalan tersebut.

‘You are putting the word into my mouth’. Tak adillah untuk saya,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya tindakan segera diambil kepada pihak yang cuba menghasut rakyat terutama berkait isu KK Mart sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah, Jemaah Menteri juga senada dengan titah Tuanku itu serta mahu aspek penguatkuasaan diberi perhatian utama serta disegerakan susulan tiga insiden serangan ke atas premis KK Mart baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri semalam mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melihat trend bersifat menghasut, menganjurkan keganasan dan tindakan melampau yang boleh menjejaskan keamanan hasil daripada aktiviti menghasut.

Katanya, beliau akui wujudnya golongan yang kerjanya membangkitkan soal keresahan dalam bentuk hasutan yang melampau dan kemudiannya mencetuskan tindakan.

“Ini semua memerlukan pihak keselamatan (polis) untuk ambil tindakan. Jadi, itu perkara kita bincang semalam pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada polis akan membuat laporan dan aduan susulan hantaran di media sosial memaparkan Akmal menghunus pedang, Saifuddin berkata beliau tidak mahu mencampuri bidang kuasa polis.

“Saya percaya polis ada tindakannya sendiri berasaskan laporan atau mereka sendiri yang buat laporan. Saya tak mahu masuk dalam bidang kuasa polis.

“Saya percaya mereka (polis) ada kepakaran sendiri dan tahu apa yang mereka buat. Apa yang penting media bantu untuk tegaskan nasihat dan titah Tuanku yang tidak mahu isu ini berterusan. Itu yang penting sekali,” katanya.

Semalam, pengasas KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan diperkenan mengadap Sultan Ibrahim bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Kee Kan selama 15 minit di Istana Negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini