Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR : Kerajaan sedang mengkaji keperluan mewujudkan perjawatan baharu untuk mengawal selia pintu masuk negara termasuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan ICQS Lubok Antu, Sarawak.
Dewan Rakyat diberitahu, kajian itu dibuat susulan pengumuman kerajaan untuk menubuhkan agensi tunggal.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia bagaimanapun memerlukan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Dari masa ke semasa KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa melihat perkembangan yang berlaku untuk keperluan pegawai.
“Buat masa ini, Jabatan Imigresen Malaysia telah menempatkan 12 orang pegawai di ICQS Lubok Antu dan bilangan tersebut adalah mencukupi untuk menguruskan 5,500 purata pergerakan keluar masuk setiap bulan.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 november 2023, pergerakan keluar masuk di ICQS Lubok Antu yang direkodkan adalah seramai 62,159 orang,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.
Menurut Shamsul, KDN sedar bilangan pegawai perlu dipertingkatkan apabila ibu negara Indonesia di Nusantara mula beroperasi.
Jelasnya, Jabatan Imigresen sememangnya menjalankan kajian perjawatan bagi memastikan keperluan pegawai mencukupi dalam menjaga keselamatan pintu masuk negara.
Terdahulu beliau berkata, KDN memperuntukkan RM50.46 juta untuk perolehan perkhidmatan sewaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tempoh tiga tahun di 83 pintu masuk antarabangsa.