
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menafikan berlaku gangguan bekalan barangan asas di Pasir Gudang, seperti yang didakwa Ahli Parlimennya, Hassan Abdul Karim.
Sebaliknya menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, bekalan barangan keperluan masih ada dan mudah diperolehi di daerah itu.
Jelas beliau, pihaknya telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berterusan ke atas kedudukan bekalan barang-barang keperluan asas di seluruh Johor.
Pemeriksaan serta pemantauan ujarnya dilakukan 200 anggota penguat kuasa tertumpu kepada semua peringkat rantaian pengedaran membabitkan pengilang, pemborong serta peruncit di negeri itu.
“Berikutan isu berkaitan gangguan kekurangan bekalan di sekitar Pasir Gudang, Johor yang dikeluarkan beberapa media sosial, hasil pemantauan dan pemeriksaan dijalankan di beberapa premis pasar raya mendapati secara keseluruhannya, bekalan barang keperluan masih ada dan mudah diperolehi.
“Sehingga kini juga tiada aduan rasmi diterima oleh KPDN Johor terhadap isu gangguan kekurangan bekalan keperluan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Lilis Saslinda, KPDN Johor juga telah berterusan mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) di kesemua 26 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini termasuk pasar raya di kawasan Pasir Gudang pada minggu ini.
“PJR kali ini menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 peratus hingga 30 peratus. Ini termasuk, gula, tepung, telur ayam, ikan, ayam, beras, buah-buahan, sayuran dan lain-lain.
“PJR di Pasir Gudang pula akan diadakan secara luar premis dan bergerak (mobile) pada 29 dan 30 September depan di Taman Pasir Putih dan Projek Perumahan Rakyat (PPR)Taman Cendana di Pasir Gudang.
“KPDN Johor ingin menasihati orang ramai agar membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak menimbulkan suasana ‘panic buying’ dalam kalangan pengguna,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa KPDN mengadakan Jualan Rahmah di daerah ini bagi mengatasi masalah ketiadaan barang keperluan asas.
| ARTIKEL BERKAITAN