comscore
Tumpuan :
Nasional

Ke arah ‘Satu Individu Satu Rekod Kesihatan’

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan transformasi kesihatan digital menyeluruh tahun ini dalam usaha memastikan setiap individu hanya mempunyai satu rekod di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta.

Menterinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain mempertingkatkan kecekapan fasiliti kesihatan di semua peringkat, pelaksanaan inisiatif itu juga membantu kerajaan dalam proses pembentukan polisi penjagaan kesihatan pada masa akan datang.

“Dengan memperkasakan rekod perubatan elektronik (EMR) atau rekod kesihatan sepanjang hayat (LHR) ini, kita akan dapat saksikan seluruh negara akan disambungkan (menerusi sistem) yang lancar, sama ada seorang individu, satu rekod di bawah Master Patient Index (MPI).

“Mana-mana pesakit pergi (ke fasiliti kesihatan), dia hanya akan ditanya soalan yang sama sekali sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KKM, di sini hari ini.

Tambahnya, bahagian kesihatan digital juga bakal ditubuhkan dalam masa terdekat bagi memantapkan lagi transformasi kesihatan digital yang dirancang ketika ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, dalam sesi Pemukiman Jemaah Menteri 2024 sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan supaya KKM menyegerakan pelaksanaan setiap dasar yang dirancangkan.

“Kita (KKM) kaya dengan dasar dan pencerakinan ‘blueprint’ (pelan tindakan), kita ada pelbagai dasar yang ditampilkan. (Antaranya) Kertas Putih Kesihatan yang merupakan komitmen kita kepada reformasi kesihatan di negara ini.

“Sangat mustahak untuk saya tegaskan, ke depan nanti ia bukan lagi ‘blueprint’ tetapi kita letakkan ‘footprint’ (jejak) dalam pelaksanaan segala ‘blueprint’ termasuk Kertas Putih Kesihatan,” katanya.

Mengulas mengenai jangkaan peningkatan harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di negara ini sekitar 5 hingga 10 peratus, Drzulkefly berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut.

“Kita belum membuat apa-apa keputusan dan pendirian tetapi kami mahukan ia mesti ada ketelusan harga, paparan harga jelas dan telus supaya pembeli, klien atau pengguna mempunyai hak untuk membuat pilihan serta keupayaan perbandingan harga,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang dilaporkan berkata, ramalan peningkatan harga itu bakal berlaku sekiranya syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) bertindak menaikkan harga pasaran kerana lebih separuh produk farmaseutikal yang memasuki negara ini diimport dari negara berkenaan.

Disember lalu, Reuters melaporkan syarikat farmaseutikal merancang untuk menaikkan harga di AS lebih daripada 500 ubat pada awal bulan ini, menurut data yang dianalisis oleh firma penyelidikan penjagaan kesihatan, 3 Axis Advisors.

Loading...
Terkini