comscore
Tumpuan :
Nasional

Keadaan banjir tiga negeri tiada perubahan – NADMA

Sebanyak 90,000 kilogram (kg) sisa banjir di daerah Kota Tinggi dibersihkan melalui Operasi Pembersihan Pasca Banjir yang dilancarkan SWM Environment bermula sejak Jumaat lalu. – Foto: SWM

KUALA LUMPUR: Setakat 6 pagi ini, keadaan banjir di beberapa kawasan di tiga negeri tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila jumlah mangsa yang berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) kekal 289 orang.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan di Johor, tiga PPS iaitu dua di Segamat dan sebuah di Batu Pahat masih aktif dengan menempatkan 80 mangsa daripada 22 keluarga.

Di Pahang dan Sabah, seramai 110 mangsa daripada 36 keluarga berlindung di dua PPS di Rompin manakala di Sabah, dua PSS juga masih beroperasi di Beluran yang menempatkan 99 mangsa daripada 42 keluarga.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati, enam sungai berada pada paras bahaya membabitkan lima negeri.

Sungai yang terlibat ialah Sungai Johor, Kota Tinggi dan Sungai Muar, Segamat di Johor, Sungai Kedah, Kota Setar (Kedah), Sungai Arau, Arau (Perlis), Sungai Klang, Klang (Selangor) dan Sungai Terengganu, Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan terdapat 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang, Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; dan Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

Loading...
Terkini