Tumpuan :
Dunia Seni

Keakraban Malaysia-Indonesia diterjemahkan melalui muzik

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dapat diterjemahkan melalui penerimaan muzik.

Kumpulan muzik Indonesia, Fourtwnty ketika ditemui Buletin TV3 semalam menyatakan penerimaan rakyat Malaysia terhadap seni muzik yang dibawa mereka sangat luar biasa.

Selain itu, katanya Malaysia sudah dianggap sebagai rumah kedua mereka.

“Tidak perlukan usaha yang banyaklah untuk menyatukan (dua buah negara) kerana muzik kita ternyata boleh diterima (oleh rakyat Malaysia), ianya satu frekuensi.

“Setiap kali jauh dari Malaysia, sudah lama tidak datang ke Malaysia itu ada rasa ‘homesick’ ya”, kata salah seorang ahli kumpulan itu, Andika Dwi Putra Arman.

Kumpulan muzik Indonesia, Fourtwnty bersama wartawan BuletinTV3 (baris belakang tiga dari kiri) ketika ditemuramah semalam.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Buletin TV3 selepas mengadakan Konsert di ibu negara malam tadi.

Konsert solo yang bertajuk ‘MyAcasà’ diadakan semalam bertujuan untuk mengubat kerinduan peminat yang ingin menyaksikan kumpulan indie tersebut.

Konsert yang diadakan secara langsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur yang terdiri daripada Ari Lesmana, Andika Dwi Putra, Agung Gunarsa, Primanda Ridho, Ryan Maulana, dan Asep Nurohman.

Tema istimewa yang dibawa Fourtwnty itu menggabungkan ‘My’ dari bahasa Inggeris, yang bermaksud ‘milik’, namun dalam konteks konsert malamtadi, ‘My’ secara simbolik mewakili ‘Malaysia’ yang mengundang kehangatan dan keserasian dengan harapan untuk merapatkan hubungan dua buah negara negara seperti sebuah keluarga.

Sementara itu, Acasà yang membawa maksud ‘rumah dalam bahasa Romania, adalah tempat keselesaan, kehangatan, dan kedamaian.

Untuk rekod, Hot FM menjadi rakan strategik sebagai radio rasmi untuk konsert berkenaan.

Dalam pada itu, Vokalis Fourtwnty, Ari Lesmana berkata keharmonian dan kepelbagaian budaya selain pengekalan aspek tradisional di negara ini menarik minat mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

Katanya, ibu negeri Perak, Ipoh yang kaya dengan tinggalan sejarah itu menarik minat mereka sekiranya diberikan peluang untuk tinggal di negara ini.

“(Ipoh itu) tenang, begitu banyak perkara vintaj, makanannya enak, orangnya baik disitu.

“Mereka (seolah) tidak memikirkan soal dunia dan menjalankan hidup yang sederhana tetapi semuanya sentiasa tersenyum,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini