Oleh: Syafiqah Damanhuri
VIENTIANE: Penyertaan Timor Leste sebagai negara anggota ASEAN mampu memberi nilai tambah kepada blok tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagaimanapun ketika ini keputusan itu belum dapat dicapai secara konsensus.
‘’ASEAN ini merupakan satu kumpulan negara yang apa jua keputusan berasaskan kepada keputusan bersama konsensus.
‘’Jadi itu yang kadang-kadang menyulitkanlah, ada satu dua negara kadang-kadang mempunyai pandangan yang berbeza kerana bukan sebab apa tapi kerana tak suka, jadi itu kadang-kadang menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat.
‘’Jadi kita cuba supaya kata sepakat ini dapat dicapai untuk memastikan Timor Leste dapat masuk (dalam ASEAN), dia menambah nilai kepada keluarga ASEAN yang besar,’’ katanya ketika ditemui media di Hotel Muong Thanh selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, di sini.
Selain itu tambahnya, Majlis Koordinasi ASEAN (ASEAN Coordination Council) juga mengadakan perbincangan untuk mempercepatkan dan membantu negara berkenaan supaya keanggotaannya dalam ASEAN dapat direalisasikan.
Namun Timor Leste juga perlu memenuhi keperluan yang ditetapkan supaya keanggotaan mereka diterima.
‘’Kita punya dalam Coordination Council itu, bercakap berkenaan dengan bagaimana cara untuk kita mempercepatkan dan membantu negara Timor Leste untuk dapat menjadi sebagai ahli tetap ASEAN.
‘’Banyak perkara yang negara Timor Leste perlu ambil maklum dan juga untuk mereka membuat berbagai-bagai perubahan di peringkat dasar mereka,’’ ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.